Sunday, August 23, 2009

Persiapan mendapat berkat Ramadan

BAGAIKAN menunggu tetamu yang istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh
seluruh mukmin di pelusuk dunia. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah
SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya
Ramadan, Rasulullah mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Bahkan ketika
Syaaban, Rasulullah mengajar sahabat doa: “Ya Allah berkatilah kami pada
Syaaban dan sampaikan kami Ramadan.”

Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap:

l Tahap terbaik (khusus al-khusus) – Seseorang Islam yang berjaya mengawal
puasanya bukan setakat makan dan minum tetapi mencakupi keseluruhan
perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatal atau mengurangkan pahala
puasanya.

l Khusus – Seseorang yang berjaya dan berusaha untuk menahan diri dari
melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi dia
masih lagi tidak dapat mencegah diri dari maksiat batin.

l Umum – Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada
melakukan apa juga perbuatan yang boleh membatalkan puasanya tetapi masih
lagi tidak dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat zahir dan
batin.

Antara punca yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam hari ini masih
berada pada tahap kedua dan ketiga disebabkan nilai dan mutu kehidupan
seseorang itu sendiri yang masih berada di takuk lama walaupun menyedari
sedang berpuasa. Perbuatan seperti terlalu banyak bercampur dengan rakan
yang melebihkan tumpuan dalam hal keduniaan, hanyut dalam kealpaan dan
angan-angan, bergantung harap tidak kepada Allah dengan sepenuhnya dan
makan serta tidur yang berlebihan.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang
berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan Allah akan mengampuni
dosanya yang lalu” (riwayat Muslim).

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Apabila kamu
berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatan-mu dan lidahmu turut
berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu,
hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak
berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.” (riwayat Bukhari).

Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dilaksanakan, kita perlu
memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada
dalam bulan berkat ini. Antaranya ialah:

l Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana
kelalaian dalam menjaga anggota badan.

l Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik
pengertian ayat yang dibaca.

l Mengurangkan tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan.

l Beriktikaf dalam masjid terutama pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

l Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana
bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari sifat takbur dan kembali
menyemai sensitiviti sesama umat Islam.

l Usah terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.

Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh sepanjang
bulan ini, Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan
Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu:

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar
lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada satu malam yang
lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah
fardu dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang
mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka
samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan lain.
Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan
menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan
berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi
pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”

Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung
di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang
sentiasa mengharap keberkatan dan pahala yang berlipat ganda dari Allah
Taala. Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan
makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan
berpuasa di dalam bulan Ramadan untuk menjadi umat Islam yang rendah
produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.

No comments: