Pesta Sematan Lundu Tarik Ribuan Pengunjung
Pelbagai acara telah diadakan bagi memeriahkan lagi Pesta Lundu Sematan yang diadakan selama dua hari bermula 16 Julai 2010 lalu. Antaranya expo pameran dan jualan, menangkap ketam bunga, senam seni, malam kebudayaan, kenduri rakyat, pertunjukan go-kart, pertandingan tarik tali, Lundu Idol, pesta air dan sebagainya. Pesta kali ketiga itu telah berjaya menarik kira-kira 10,000 orang pengunjung terutama masyarakat di Daerah Lundu, Kuching dan Bau. Pembukaan rasmi pesta telah dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan menteri-menteri kabinet lain seperti Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri, YB Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, YAB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Opar, YB Ranum Mina dan Ahli Parlimen Santubong, YB Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Berucap pada majlis perasmian yang berlangsung di Tebingan Sematan, YAB Ketua Menteri Sarawak berkata, dalam tempoh dua tahun akan datang, Sematan akan menjadi sebuah bandar baru dan bakal menjadi salah satu destinasi pelancongan di negeri ini. Menurutnya, rancangan menaik taraf Semantan dibuat bagi menarik kedatangan lebih ramai para pelancong dan sebagai langkah meningkatkan lagi taraf ekonomi masyarakat setempat. Jelas Taib, bagi melaksanakan impian itu, keperluan seperti tempat letak kereta, kedai, gerai makanan dan minuman, tempat tinggal dan sebagainya perlu diberi perhatian bagi memberi kemudahan kepada para pengunjung. Ini kerana kata YAB itu, pada masa sekarang, daerah kecil ini masih kekurangan kemudahan-kemudahan seperti itu untuk memberi keselesaan kepada para pelancong. Menurut Taib, keindahan alam semula jadi di Sematan dan Lundu, keunikan barangan kraf dan keramahan para penduduk di daerah ini menjadi potensi untuk menarik kunjungan para pelancong dari dalam dan luar negeri ini.
Tambahnya, kemudahan jalan raya yang ada di Sematan dan Lundu memudahkan lagi pengunjung dalam dan luar memandu sendiri hingga sampai ke kawasan ini. Dalam pada itu kata Taib, pengunjung yang berhasrat ke sini juga boleh singgah di Opar yang juga bakal dimajukan menjadi sebuah bandar dalam tempoh masa lima tahun akan datang. Menurut pehin sri itu, kedatangan para pelancong ke sini bukan semata-mata hendak menyaksikan bangunan-bangunan pencakar langit seperti yang terdapat di bandar-bandar besar tetapi ingin mencari kelainan untuk menenangkan fikiran. Di pelosok negeri ini jelas beliau, kepelbagaian budaya, makanan tempatan dan keindahan alam sekitar di samping keramahan penduduk-penduduk tempatan menjadi aset utama dalam menarik kunjungan pelancong luar. Justeru, beliau menyeru agar masyarakat tempatan memelihara adat resam, budaya serta kelainan makanan yang ada di negeri ini kerana ia terdapat di tempat-tempat lain.
sematan
No comments:
Post a Comment